“Tolonglah
tuan, beri saya peluang untuk terus bekerja….” Terketar-ketar suara Pak Daud menahan
sebak. Ya, Pak Daud telah dilawati oleh wakil syarikat yang dia sedang
berkerja. Mereka datang untuk menyerahkan notis berhenti kerja atas sebab
faktor kesihatan. Pak Daud terlalu kerap mengambil cuti sakit sehinggakan
kerjanya perlu diuruskan oleh orang lain. Pihak atasan telah terima terlalu
banyak rungutan oleh sesetengah pihak yang tidak berpuas hati tiap kali Pak
Daud mengambil cuti sakit.
Bagaimana la
Pak Daud mahu menyara diri dia dan Ina? Rayuan Pak Daud tidak diterima oleh
pihak atasannya. Lembaga Pengarah telah bersidang dan membuat keputusan untuk
memberikan Pak Daud setahun pampasan tanda menghargai bakti dan jasa Pak Daud kerana
telah berkhidmat dalam tempoh yang lama dengan mereka.
Selepas
tempoh setahun? Bagaimana pula?
Umar dan Ismail
selama ini tidak pernah menghulurkan bantuan kewangan kepada Pak Daud. Malahan
mereka juga kerap meminjam dengan dia. Sebab itu, Pak Daud tidak mempunyai duit simpanan.
Duitnya telah habis diberikan kepada anak-anak lelakinya.
Malam itu,
Pak Daud meminta ketiga-tiga anaknya untuk berkumpul. Pertama kali mereka
mengadakan mesyuarat keluarga. Pak Daud meluahkan segala masalah yang sedang terbuku dihatinya. Ina yang telah tahu lebih awal telah menangis tidak berhenti-henti
sejak petang itu lagi. Sebutir nasi pun tidak lalu dijamah olehnya. Ina lembik
tidak mampu berkata-kata mengenangkan nasibnya kelak.
“Mana boleh
ayah..” Ujar Umar tegas. Umar selaku anak sulung, dia tahu dia perlu tegas
membuat keputusan agar boleh terlepas diri daripada menanggung kehidupan bapa
dan adiknya itu. Menantu-menantu Pak Daud menampakkan riak wajah yang kurang senang
dengan keadaan malam itu. Masing-masing mahu suami mereka mengelak daripada
memikul tanggungjawab yang berat tu. Keadaan sangat tegang. Tanpa ada
sebarang keputusan masing-masing bersurai dalam keadaan tertekan.
Pedih mata
Ina kerana terlalu kerap menangis. Siang malam termenung akan nasib
keluarganya. Mujur unggas liar di luar rumah kecoh berpesta sakan, menghidupkan
suasana malam Ina yang gundah-gulana. Tika ini, hati Ina sepi membeku kerana
mengenangkan sikap abang-abangnya yang hanya ingin melepaskan diri
masing-masing.
Comments
Post a Comment